Filem & Drama
Terbaik Dari Langit Penuh Sinikal dan Metafora

Genre: Drama
Durasi: 1 Jam 46 Minit
Pelakon: : Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Nadiya Nissa, Sharifah Amani, Siti Saleha
Pengarah: Nik Amir Mustapha
Penerbit: Astro Shaw dan Playground productions
Duduk, tenangkan fikiran dan hayati bait-bait skrip yang dilontarkan oleh barisan pelakon Terbaik Dari Langit yang penuh dengan metafora. Penyampaian dialog yang agak sinikal boleh menyentak perasaan dan emosi sesorang.
Dari sudut jalan cerita, dalam filem kepada pembikinan filem memburu dan mencari UFO itu agak unik tetapi pada pemikiran umum ia umpama tidak waras.
Tetapi sebenarnya sepanjang perjalanan mencari UFO itu terdapat pelbagai konflik, perasaan, soal jiwa dan hati yang dilontarkan tidak terlalu ‘direct’ dek kerana ingin melindungi hubungan persahabatan yang terjalin di bangku sekolah.
Garapan penulis skrip Ridza Minhat nampak bersahaja dan seumpama meletakkan dirinya dalam cerita ini. Namun ia tiada kena mengena dengan dirinya ia hanyalah bingkisan karya yang ingin menyedarkan pemikiran peminat dan penggiat filem tempatan.
Bagi penulis, komitmen pelakon dalam filem ini amat mantap, masing-masing berada di liga tersendiri dan tahu hala tuju membawa watak mereka.
Sinematografi tidaklah setanding filem Hollywood, namun permandangan sekitar kampung halaman boleh mengembalikan nostalgia anak-anak desa yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.
Penulis merasakan Terbaik Dari Langit mempunyai peminatnya yang tersendiri, dan yang pasti mereka akan tersenyum dan puas menonton.
Sinopis:
Berg (Bront Palarae) ialah seorang pembikin filem. Berg menemukan semula rakan-rakan sekolah yang telah terpisah selama 15 tahun untuk membikin sebuah filem pendek yang melibatkan sebuah UFO.
Berg yakin dia akan dapat mencari UFO yang telah dilihatnya ketika dia dan rakan-rakannya keluar ke kawasan sekolah asrama di waktu malam.
Dia merahsiakan penyakit kanser otak tahap keempat yang dihadpinya daripada rakan-rakannya. Ini mungkin peluang terakhirnya untuk membikin filem. Berg terpaksa mengambil ubat penahan sakit sepanjang perjalanan.
Adakah Berg berjaya menemui UFO? Adakah Berg sembuh daripada penyakitnya, nak tahu kisah selanjutnya, silalah tonton di pawagam berhampiran yang sudah ditayangkan pada 25 Disember lalu.
