Drama Si Bakhil dengan Bunganya
Bersiaplah untuk sebuah drama bersiri yang sarat dengan emosi, misteri dan permainan hati! Mengadaptasi karya popular tulisan Liza Nur, Si Bakhil dengan Bunganya kini direalisasikan ke layar kaca oleh pengarah berbakat, Hadith Omar, dengan terbitan mantap dari Global Station. Dibintangi oleh gandingan serasi Yusuf Bahrin dan Alya Iman, drama ini dijangka menjadi tumpuan penonton setia Astro Ria.
Mulai 28 Mei 2025, saksikan kisah mencuit hati dan mendalam ini setiap hari Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria. Untuk penonton yang tidak sempat di hadapan kaca TV, jangan risau – anda juga boleh menikmatinya melalui platform Astro One dan sooka.
Info Drama
Tajuk: Si Bakhil dengan Bunganya
Episod: 16
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2025
Hari Siaran: Rabu & Khamis
Waktu Siaran: 9:00 malam
Rangkaian: Astro Ria / Astro One / sooka
Penulis Asal: Liza Nur
Pengarah: Hadith Omar
Produksi: Global Station Sdn Bhd
Barisan Pelakon
- Yusuf Bahrin sebagai Baqi
- Alya Iman sebagai Kekwa
- Arfie Shah sebagai Uwais
- Auni Yusri sebagai Iris
- Malle Christian sebagai Orked
- Kodi Rasheed
- Rusdi Ramli
- Fahmy Reza
- Zarynn Min
- Roy Azman
- Sharifah Shahora
- Raja Azmi
- Rafique Iskandar
- Heidi Nur Aeesya
Sinopsis
Takdir mempertemukan dua insan berlainan dunia – Baqi, seorang lelaki yang terlalu berkira dalam segala hal, dan Kekwa, seorang gadis lantang bergaya ‘kekwat’. Perkenalan mereka bermula di bumi asing, dalam hidup yang serba tidak kena dan penuh kekusutan. Hubungan yang terjalin bukan atas dasar cinta, tetapi kerana saling mempergunakan demi mencapai matlamat peribadi masing-masing.
Baqi hidup dalam dendam terhadap bapa saudaranya, Abu Jalal. Untuk membalas dendam, Baqi ditugaskan menggoda Orked – sepupu Kekwa – yang sudahpun bertunang dengan Uwais. Sebagai ganjaran, Kekwa pula setuju untuk ‘berlakon’ menjadi kekasih Baqi dan turut serta pulang ke kampung halaman lelaki itu, ke tengah ladang kelapa sawit yang menyimpan kisah silamnya.
Namun dalam permainan perasaan dan rancangan berdendam, satu perkara tidak mereka jangka – perasaan yang perlahan-lahan meresap ke dalam hati masing-masing. Mereka cuba menafikan, menyembunyikan, bahkan melarikan diri daripadanya, namun api cinta mula menyala tanpa izin. Kekwa yang pernah kecewa takut untuk kehilangan lagi, manakala Baqi pula tersepit antara membalas dendam atau menyerah kepada cinta.
Dan ketika nyawa menjadi taruhan, hubungan mereka diuji pada tahap yang paling dalam. Adakah Baqi akan terus memilih dendamnya? Mampukah Kekwa membuka hatinya sekali lagi?
Si Bakhil dengan Bunganya bukan sekadar kisah cinta biasa. Ia adalah kisah tentang luka yang belum sembuh, dendam yang diwarisi, dan kasih yang datang tanpa diundang. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti setiap detik, kerana setiap episod menjanjikan kejutan yang bakal mengusik perasaan anda.